Monday 23 January 2012

Tazkirah : Aku Hamalatul Quran


Aku Hamalatul Quran

Bisikan ketenangan menyelubungi sanubari,

kesyahduan kurasakan amat bererti,

acapkali kuterdengar alunan suara insan-insan kerdil,
membasahi lidah dengan kalam-Mu ya Ilahi,
tiada putus-putus mendampingi Kitab-Mu,
membaca, mentadabbur, meneliti ayat-ayat suci.

Segolongan insan yang dihormati,
segolongan insan yang dipandang tinggi,
Inilah insan yang bergelar Hamalatul Quran,
iaitu pendukung kitab suci..
Hamalatul Quran, itulah aku!

Terngiang-ngiang di telingaku ungkapan kata penuh makna,
yang hanya dapat dihayati oleh hati-hati yang suci,
Wasiat Ibnu Mas'ud yang berbunyi..

"seharusnya bagi seorang Hamalatul Quran itu mengetahui..
malamnya ketika manusia dibuai mimpi,
siangnya ketika manusia enak menikmati juadah,
tangisannya ketika manusia bergelak ketawa,
diamnya ketika manusia berkata yang sia-sia,
dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia.."

Aku merenung sejenak,
Hamalatul Quran..begitukah aku??

kata-kata itu mengetuk fikiranku,
menyentuh hatiku, menyedarkan aku dari lamunanku,
betapa Hamalatul Quran yang hakiki,
Adalah insan-insan yang sanggup bermujahadah dalam kepayahan,
mampu berkorban dalam tangisan,
dan rela imannya diuji dengan keperitan..
Baru kutersedar, Hamalatul Quran..kau luar biasa!

Tatkala kuimbas kembali kisah silamku yang penuh dengan kelalaian,
kealpaan, keseronokan seperti orang kebanyakan,
sememangnya tidak layak untuk diri ini dianugerahi dengan permata Ilahi,
yang nilainya terlalu tinggi jika dibanding dengan diri yang daif ini..

Namun, Kau anugerahkan jua aku dengan kemuliaan ini,
menjadi salah seorang insan pilihan-Mu,
di dalam dunia Hamalatul Quran yang penuh dengan janji-janji manis di akhirat nanti..
Ibu bapaku bakal kau pakaikan dengan mahkota sebagai hadiah pengorbanan mereka mendidikku mengenali kehidupan insani.

Tidak mahukah engkau dibangkitkan dengan sinaran cahaya jernih yang terpancar pada wajah yang berseri-seri??
Hamalatul Quran, alangkah beruntungnya dikau!!

Sahabat-sahabat Al-Quran,
sudahkah Al-Quran menakluki jiwamu?
manjadi kekasihmu, buah hatimu yang tiada bertepi?
Ataukah manusia yang masih bertakhta di sanubari?
Ataukah kasih manusia yang masih kau dambai?
Pernahkah kau rasakan Al-Quran itu teman sejati?
Adakah impianmu sekadar satu ilusi dalam fantasi..
yang implikasinya tidak sama dengan realiti kehidupan Hamalatul Quran?

Sahabat-sahabatku..ingatlah,
kita bertemu kerana Al-Quran,
Ukhuwwah mahabbah yang terjalin ini atas nama Al-Quran,
dan semoga perpisahan kita adalah semata-mata untuk meneruskan perjuangan demi Al-Quran.

kredit kepada : profaz

No comments:

Post a Comment